Search This Blog

Monday, October 31, 2011

Aku.Muzik.Kamu part I

Pergh, bukan main bersawang lagi blog ni. Tu la, orang nak ada blog ko pun nak ada gak. Dah tahu diri tu tak berapa nak rajin sangat gatal gak nak buka blog. Last-last, sedih!!

Muzik. Semua orang suka pada muzik. Bila sebut muzik ofcos la bercerita tentang lagu. Ni aku nak sembang pasal muzik yang aku dengar daripada kecil sampai la umur layak mengundi ni. Aku start ambil port dengar lagu ni sejak umur aku enam tahun. Sebelum tu bukanlah aku ni pekakbisu tak dengar muzik tapi maksud aku menjadi serius mendengar muzik pada umur enam tahun. Guess what lagu apa yang menerjah hati aku? Spring? Ukay's? Tak, bukan dari Malaysia tapi muzik yang dibawa daripada Seattle. Ya, Nirvana. Time tadika lagi aku dah dengar Nirvana. Walau sepatah haram aku tak faham berdasarkan tahap kognitif aku di waktu itu tapi lagu tu betul-betul into dalam jiwa aku. Lagu feveret lagu The Man Who Sold The World. Ni semua kerja abang aku dengan sepupu aku. Aku ingat lagi time tu dia tunjuk dua album, satu Unplugged In New York dengan In Utero. Dia kate yang unplugged ni lagu-lagu lembut yang lagi satu ni lagu gila babi. Aku dengar jela.

Sekitar hujung 90an nasyid meletup di Malaysia. Muncul la Raihan, Rabbani, Hijjaz dan lepas tu baru la yang lain-lain tu naik. Semua gila nak buat grup nasyid. Perempuan pun sama. Pakaian ketat-ketat pun dok mengaku dia kumpulan nasyid. Emak dia la. Kegilaan nasyid ni turut mempengaruhi aku dan pada masa tu aku beralih arah kepada kumpulan Raihan. Sampai semua tentang Raihan aku ikut, baju Raihan, kopiah Raihan, tengok filem Syukur 21 dan semua semualah. Album first yang aku dengar sampai habis tak tinggal satu lagu adalah album Puji-Pujian. Tapi sejak Nazrey keluar Raihan aku tak berapa nak into dah dengan Raihan ni.

Awal alaf baru menyaksikan muzik Indonesia mula cucuk telinga orang Malaysia. Masa tu Sheila On 7 tengah top. Lagu killer dorang lagu Dan. Hari-hari bersiul lagu ni. Masa tu lagu Indonesia yang tengah naik lagu Dan ni dengan lagu Jika, Ari Lasso dengan Melly Goeslow. Lagu Jika ni pernah pecah rekod lagu paling lama jadi juara carta Era tak silap aku.

Tahun 2002 aku naik ke sekolah menengah. Aku rasa aku kembali ke pangkal jalan. Aku kembali dengar nasyid. Sekolah agama beb, takkan nak dengar Tenacious D. Minggu orientasi lagi aku dah kena sogok dengan lagu-lagu nasyid. Tapi grup nasyid yang aku dengar masa tu bukan yang femes-femes ni tapi yang tak tahu la nak kata, underground ke dulu-dulu ke tak tahu la. Macam Nadamurni. Ke aku yang tak ambil tahu?
Tapi takat setengah tahun je. Lepas setengah tahun aku layan hip-hop. Biasa la, sekolah asrama. Pengaruh rakan-rakan tu penting. Aku gila dengar Too Phat. Pada aku grup hip-hop ni cool. Punye la minat sampai aku kalau pakai seluar trek londehkan sampai paras punggung. Punggung sungguh aku di masa itu.

2003 aku naik ke tingkatan dua. Memang la, mana ada orang lompat form 1 terus ke form 4. Pada masa ni aku tidak lagi memandang Too Phat tetapi memandang Linkin Park. Siap letak poster atas meja. Punye la minat. Hape bende la aku time tu. Sungguh cool pada masa tu kalau dengar Linkin Park. Ni pulak kelas baru campur perempuan maka masing-masing la nak tunjuk cool. Tapi ni pun tak kekal lama. Hasil percampuran aku dengan abang-abang dan aku pun nak juga merasa jadi abang-abang aku layan Nirvana kembali. Linkin Park ni aku rasa bahan adik-adik. Adik-adik form 1 pun tahu Mike Shinoda tu siapa tapi kenal ke dengan Dave Grohl? Kenal? Tak kan? Ni membuatkan aku merasa diri aku ni berlainan taraf dengan form 1. Baru layak kalau jumpe dorang kena bagi salam dulu. Album pertama yang aku beli album Nirvana Greatest Hits. Yang cover warna hitam tu. Layan seyy. Nak buat homework sambil buka lagu tu. Kes tu homework tak siap tu. Aku rasa masa tu aku sorang je yang layan Nirvana. Dok gila lukis muka smiley pastu lidah terjelir. Yang lain yang layan semua abang-abang. Batch aku time tu gila Skinhead. Aku layan gak tapi setara la. Dua-dua aku layan tapi tak la sampai seluar kena kecik bawah dengan botak kepala. Sabar, zaman tu akan muncul tak lama lagi. Ok, nak mandi jap.

Wednesday, October 12, 2011

Syair

PENGENALAN

Syair merupakan salah satu komponen yang terdapat dalam genre Puisi Melayu Tradisional. Syair juga sangat terkenal dalam kalangan bangsa Melayu sebagai alat hiburan, penceritaan atau medium dalam menyampaikan sesuatu karya selain daripada puisi-puisi lain mahupun prosa. Hal ini kerana cara penyampaiannya yang berbeza serta dilagukan dengan pelbagai kaedah dan alunan yang mengasyikkan.

Perkataan syair berasal daripada perkataan arab iaitu ‘shi’r’ yang bermaksud perasaan yang menyedari atau curahan perasaan. Menurut Noriah Mohamed, (2006), Za’ba, (1965) telah memberikan pengertian istilah syair sebagai karangan yang disusun perkataannya berangkap-rangkap, dengan bersukat dan bertimbang serta mempunyai pertentangan bunyi sama di hujung tiap-tiap sekeratnya, dan biasanya mengandungi fikiran yang cantik dan tinggi dilafazkan dengan bahasa yang indah dan berhias hingga dengan sebab itu ia dapat menggegar perasaan atau membangkitkan rasa menggelepar dan gembira di dalam hati.

Walaupun perkataan syair berasal daripada perkataan arab, Noriah Mohamed (2006) mengemukakan pandangan Syed Naquib Al-Attas yang menyatakan bahawa pelopor syair di Nusantara adalah Hamzah Fansuri. Hal ini mungkin disebabkan oleh kedalaman ilmu sastera Arab-Parsi yang dipelajri oleh Hamzah Fansuri sendiri.

BENTUK

Umum mengetahui ciri-ciri khusus sesebuah syair adalah terdiri daripada empat baris, memiliki rima a/a/a/a, keseluruhan baris merupakan kesatuan idea serta suatu rangkap syair sering diikuti rangkap-rangkap selanjutnya untuk membawa satu kesatuan yang lengkap sesuai dengan isi dan tujuan penyair. Keindahan rima pada syair merupakan salah satu ciri unik syair yang menjadikannya mudah untuk dihasilkan serta diingati sepanjang zaman. Dalam Junaini Kasdan, (2004) pula, S. Takdir, (1982) menyatakan bahawa dalam bahasa Melayu syair dapat diertikan sebagai bahasa ikatan yang terdiri daripada empat baris sajak sama. Kadang-kadang bersajak dua dan tiap baris terdiri atas empat perkataan seperti halnya pantun, sedang kata dalam tiap suku karangan lapan sampai tiga belas tetapi umumnya sepuluh suku kata. Namun begitu, Harun et. al. (2000) dalam Junaini Kasdan, (2004) menyatakan terdapat sekurang-kurangnya sembilan variasi bentuk dalam syair Melayu iaitu seperti berikut:

1. Dua baris serangkap dengan rima a/b.

2. Tiga baris serangkap dengan rima a/a/b.

3. Empat baris serangkap dengan rima a/a/a/b.

4. Empat baris serangkap dengan rima a/b/a/b.

5. Empat baris serangkap dengan rima a/a/b/b.

6. Empat baris serangkap dengan rima a/a/a/b, c/c/c/d, d/d/d/b dan seterusnya.

7. Empat baris serangkap dengan rima a/a/a/b, c/c/c/d, e/e/e/f dan seterusnya.

8. Empat baris serima (monothyme).

9. Empat baris berkait.

Antara syair yang menonjolkan variasi bentuk dalam syair Melayu adalah Syair Seratus Siti. Syair yang tidak diketahui nama pengarangnya ini ditulis sekitar tahun 1711 dan ditulis dalam 258 halaman menggunakan bahasa Melayu lama dengan ejaan Jawi lama. Contoh yang boleh diambil daripada teks ini adalah bentuk dua baris serangkap dan tiga baris serangkap.

Contoh bagi syair dua baris serangkap:

Segenap pentas diperbuatkan genta,

Sekaliannya ditatah dengan intan permata.

(Syair Seratus Siti, ms 3)

Contoh bagi syair tiga baris serangkap:

Serta disambut dimasukkan serta,

Sambil berhamburan airnya mata,

Belas dan sayang di dalam cita.

(Syair Sratus Siti, ms 49)

TEMA

Panuti (1988) dalam Junaini Kasdan (2004) menyatakan bahawa tema adalah gagasan, idea, atau pilihan utama yang mendasari suatu karya sastera. Tema itu kadang-kadang didukung oleh pelukisan latar, tokoh dan penokohan. Tema bahkan dapat menjadi faktor yang mengikat peristiwa-peristiwa dalam satu alur (plot). Syair merupakan salah satu bentuk hiburan atau medium yang sering kali digunakan oleh pengkarya Melayu untuk menyampaikan sesebuah cerita atau hikayat. Oleh itu, terdapat banyak syair yang memiliki jalan cerita yang menyerupai hikayat dalam prosa Melayu tradisional. Antaranya adalah Syair Siti Zubaidah, Syair Siti Hasanah, Syair Misa Gumitar dan Syair Almarhun Sultan Abu Bakar di Negeri Johor. Syair ini bukan sahaja panjang dan membentuk serangkaian cerita malah mengemukakan tema, persoalan, watak dan plot yang menyamai kisah dan hikayatnya. Walaupun syair mula berkembang selepas kemasukan Islam di Tanah Melayu, terdapat beberapa syair yang masih dipengaruhi oleh sastera epik dan panji. Antara contoh yang dapat dilihat adalah melalui Syair Misa Gumitar seperti dibawah:

Sang Nata Kuripan Seri Narapati,

Beroleh putera bagai di hati,

Empat sebanjar dengan seperti,

Laksana kuntum anggerik menjati.

(Syair Misa Gumitar, ms 1)

Bentuk syair yang mudah dan memiliki ciri kesusasteraan yang yang indah turut memikat ramai pengkarya Melayu moden untuk menghasilkan syair dalam pelbagai tema. Selain cerita dan hikayat, pengkarya juga mengetengahkan beberapa tema berbentuk nasihat, agama, jenaka dan sindiran. Tema-tema ini biasanya menghasilkan syair yang lebih ringkas dan pendek berbanding syair yang berbentuk cerita. Dalam teks komponen satera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah, tema yang ringkas dan mudah seperti ini sering diketengahkan sebagai bahan pengajaran. Antara contoh syair yang dipelajari adalah Syair Definisi Orang Berakal seperti di bawah:

Orang berakal sangatlah mulia,

Pakaian anbia dan aulia,

Barang siapa mengikut dia,

Itulah tanda orang bahagia.

(Harga Remaja, ms 7)

KESIMPULAN

Syair sering dikarang hasil cetusan si pengarang terhadap sesuatu peristiwa atau niat. Cetusan ini disampaikan dengan alunan syair yang didendangkan sebagai hiburan dalam pelbagai majlis keramaian agar dapat diperdengar kepada umum. Kaedah teguran atau sindiran yang halus ini bukan sahaja menonjolkan keindahan syair tetapi turut menonjolkan kehalusan pekerti masyarakat Melayu zaman dahulu.

RUJUKAN

Junaini Kasdan. (2004). Syair Seratus Siti. Selangor: Dawama Sdn. Bhd.

Noriah Mohamed. (2006). Sentuhan Rasa dan Fikir dalam Puisi Melayu Tradisional. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan.

Rosmani Binti Omar. (2009). Harga Remaja. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Siti Zaleha M. Hashim dan Khadijah Hashim. (2008). Puisi Tunas Bangsa. Selangor: K Publishing.