Search This Blog

Monday, April 1, 2013

Perihal Berniaga

Senarai rakan saya di FB berjumlah 679 orang. Jumlah ini lebih ramai daripada jumlah penonton di Stadium Larkin pada tahun-tahun lepas. Jika dikira sekali dengan rakan yang saya sudah blok dan "unfriend" angka ini meningkat lagi. Mungkin lebih ramai daripada peminat yang penonton perlawanan Harimau Malaya pasca AFF 2012.

Daripada jumlah 679 orang itu tadi berkemungkinan besar berbelas orang yang menjual produk. Tidak kiralah apa pun yang dijual. Ada yang jual tudung, jam, seluar, kasut, jubah dan bermacam lagi. Namun belum ada lagi yang menjual maruah. Alhamdulillah.

Barang yang dijual juga cantik dan harganya berpatutan. Jika yang menjual tudung dan shawl cantiknya tudung dan shawl yang mereka jual membuatkan saya rasa ingin menukar jantina. Yang menjual jam pula membuatkan saya nak lempar sahaja jam saya ke parit. Tapi memandangkan menukar jantina dan membazir itu berdosa, maka saya batalkan saja niat saya itu. Lagipun jam saya sekarang ini water resistnya 30 meter. Setakat parit cetek itu mungkin jam tersebut hanya tergelak melihat telatah saya.

Jadi apa masalahnya dengan kawan-kawan yang sebegitu?

Menjadi masalah apabila mereka meng"add" saya dalam kumpulan perniagaan mereka. Puncanya kerana untuk menjual dalam kumpulan tersebut mereka kena "add" seseorang. Saya tidak tahu siapa punya idea ini. Kalau saya tahu mungkin dah saya seligi kepala beliau.

Berniagalah semahu anda. Saya menyokong tapi jangan jadikan saya kambing hitam untuk melariskan perniagaan anda. Tambah menjelikkan sebelum itu tidak pernah pun menegur saya dalam FB, kalau saya yang tegur pun dia buat dungu sahaja lantas membuatkan saya malu sendiri.

Perbuatan ini seperti anda berniaga di pasar malam dan memaksa saya naik kereta sekali untuk ke pasar malam sebagai syarat untuk anda berniaga. Tidak manis begitu bukan?

Kesimpulannya, hormatilah akaun FB orang lain.