Search This Blog

Wednesday, August 6, 2014

SARANG

Alhamdulillah..dah 1 tahun 1 bulan dan 5 hari diri ini dipanggil cikgu oleh anak2 yg tak pernah dikenali. Dalam tempoh yg sama masih tiada panggilan yg sangat dekat dan menyentuh hati. Sungguh. Entah kenapa keseronokan menjadi seorang guru itu hilang kerana perkara2 remeh yg entah perlu atau tidak menjadi punca rasa yang kurang enak. Bukan itu isunya. Mungkin benar anak2 GENERASI Y yg dulu sering disebut-sebut kini kian membesar dan inginkan perubahan.

Apakah perubahan itu perlu?

Pada tahun 90-an, masih tersisa sedikit memori zaman anak-anak membawa surat dari sekolah untuk emak di rumah. Pasti tertulis pada akhir surat SAYA YANG MENURUT PERINTAH dan diikuti tandatangan guru. Ayat tersebut sangat menyentuh hati. Entah kenapa. Tapi sungguh-sungguh menyentuh hati.

Kini, saya juga menulis surat. Saya juga mengedarkan surat kepada anak-anak untuk dibawa pulang. Besar harapan saya agar surat tersebut sampai ke tangan ibu bapa. Namun pada akhir surat yang saya tulis tiada lagi ayat yang sama. Itu satu perubahan.

Jauh perjalanan saya untuk belajar menulis surat kepada ibu bapa anak-anak bertuah ini. Mungkin saya terlupa bahawa perlu ada hati, perasaan atau emosi bahkan barangkali perlu ada kasih sayang dan cinta pada kandungan surat yang saya tulis. Bukan perubahan ayat itu yang memberi kelainan pada surat dulu dan sekarang tetapi kesan pada hati kita saat membaca makluman dari seorang guru. 

Mungkin guru hari ini tiada nilai seperti guru suatu masa dahulu. Bukan sanjungan yang seorang guru dambakan. Dari dulu sampai sekarang tiada guru yang mendambakan sanjungan tetapi hati seorang guru akan kekal berbunga bertahun lamanya jika ada seorang anak yang kekal mengingati dan mengucapkan terima kasih walau sekali. Sungguh unik perasaan tersebut. Mungkin individu daripada profesion lain turut merasainya.

Terkesan saat membaca satu blog yang mana penulisnya seorang doktor menulis tentang kerjaya sebagai doktor. Beliau menulis mungkin suatu hari nanti kerjaya sebagai doktor akan lenyap kerana wujudnya pelbagai kerjaya lain yang menjurus kepada kesihatan. Terdetik di hati mungkinkah kerjaya sebagai guru juga akan lenyap???

Mana mungkin guru itu lenyap kerana doktor juga memerlukan seorang guru. Benarkan? Berbaur perasaan seorang guru muda yang sangat ingin melihat anak-anak mengenali diri dan dunia mereka. Sedih rasanya melihat perkembangan pendidikan yang seperti tiada hala. Kecewa rasa hati mendengar kisah-kisah bangsa yang tidak mengendahkan ilmu. Berat rasa apabila guru diperbudakkan dengan ugutan prestasi dan KPI. 

Tamadun itu terbentuk dari bangsa berjiwa. Bangsa itu terhasil dari masyarakat berjasa. Masyarakat itu Ummah. Masyarakat lahir dari keluarga sakinah. Keluarga dibentuk dari dua individu yang hatinya terikat pada cinta dan tanggungjawab. Maka dalam masyarakat itu harus ada cinta dan tanggungjawab. Bangsa juga tanpa perlu diminta pasti wujud cinta dan tanggungjawab. Namun mana dia cinta dan tanggungjawab?

Tertitis air mata mendengar seorang ibu yang menjaga empat orang anak memarahi guru kerana tidak tahu menjaga 40 orang anak di dalam kelas. Ya. Mana mungkin seorang guru mampu menjaga 40 orang anak sedangkan seorang ibu juga tidak mampu menjaga empat orang anak. Maka mungkin perlu seorang guru berkata 'Silalah puan menggantikan tempat saya di kelas ini'. Jadilah isu hangat di muka akhbar GURU MENCABAR IBU.

Bukan mudah mendidik insan. Apatah lagi memanusiakan manusia. Memasyarakatkan ilmu. Mengilmukan masyarakat. Berdoalah agar esok masih ada insan bergelar guru yang akan terus berusaha mendidik, memanusiakan manusia, memasyarakatkan ilmu dan mengilmukan masyarakat. 

BIAR BODOH BERSULUH, JANGAN BIJAK TERPIJAK.